TUMPAT: Seorang anggota polis cedera selepas sebuah kereta yang dipandu lelaki disyaki di bawah pengaruh dadah dan air ketum merempuh anggota tersebut yang sedang bertugas dalam sekatan jalan raya (SJR) di Kampung Kutan, Wakaf Bharu, di sini, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah, rempuhan menyebabkan anggota yang berpangkat konstabel itu tercampak dan mengalami kecederaan.
Beliau berkata, ketika kejadian mangsa sedang membuat pemeriksaan sebuah kereta di sekatan jalan raya itu, Proton Wira yang dipandu suspek berada di belakang dipecut secara tiba-tiba.
“Mangsa yang sedang membuat pemeriksaan kenderaan dilanggar dan tercampak ke seberang jalan.
“Anggota yang bertugas di Balai Polis Wakaf Bharu itu dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk rawatan lanjut dan mengalami luka di dahi kanan serta melecet di lengan dan tapak tangan kanan,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini, hari ini.
Amran berkata, suspek yang berusia 26 tahun berjaya ditangkap dan hasil pemeriksaan lanjut dalam kenderaan menemui cecair disyaki air ketum kira-kira 500 mililiter (ml).
Katanya lagi, hasil siasatan mendapati suspek berada dalam keadaan dan tingkah laku khayal kesan daripada pengambilan pil Epam dan air ketum.
“Suspek ditahan reman empat hari bermula semalam hingga 12 Februari untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana memilki cecair disyaki air ketum.
“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu melulu, tanpa mengendahkan peraturan jalan raya sehingga mendatangkan kecelakaan kepada anggota keselamatan malah perbuatan suspek juga mendatangkan kemudaratan kepada harta benda awam,” katanya. – BERITA HARIAN