Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Mangsa ditembak di bahagian muka -POLIS

Oleh Amira Suraini Che Mohamad

KANGAR: Seorang wanita ditemui mati dipercayai ditembak suaminya yang juga anggota polis berpangkat Lans Koperal menggunakan pistol di sebuah rumah di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, disini, pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar 6 pagi itu, mangsa Safsufarnisya Salleh, 26, ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di atas tilam dalam bilik tidur mereka.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, berkata mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka dipercayai ditembak dibahagian kiri mata dengan jarak hanya 3 inci dari muka.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, bapa mangsa ada terdengar jeritan mangsa pada kira-kira 5.30 pagi namun tiada apa berlaku sehinggalah terdengar beberapa das tembakan dilepaskan dari bilik tidur utama.

“Polis menerima panggilan kecemasan dari seorang lelaki dipercayai abang mangsa pada 7.30 pagi dan tiba ke lokasi setengah jam kemudian.

“Ketika serbuan dilakukan, suspek dan mangsa ditemui di bilik utama. Keadaan suspek ketika itu sedang berdiri memegang senjata manakala mangsa dalam keadaan berbaring… secara mengiring dengan berlumuran darah di bahagian muka.

“Setelah tangkapan dibuat dan rampasan pistol dilakukan, pemeriksaan lanjut pada mangsa didapati hanya satu kesan kecederaan di bahagian bawah mata sebelah kiri,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar.

Ujarnya, mangsa dan suspek tinggal bersama kedua ibu dan bapa mangsa di rumah berkenaan namun sebaik terdengar tembakan itu, ibu dan bapa mangsa bergegas keluar dari rumah menyelamatkan diri.

Mengulas lanjut, Yusharifuddin berkata, suspek telah bertugas selama 4 tahun di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis dan baru selesai penugasannya pada 5.30 pagi tadi.

Ditanya sama ada mangsa mengalami kemurungan, Yusharifuddin berkata pihaknya perlu melakukan pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu terhadap suspek sebelum mengesahkannya.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Kangar esok bagi proses mendapatkan reman.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, tinjauan di lokasi kejadian mendapati kawasan rumah mangsa dikawal ketat oleh anggota polis dan hanya ahli keluarga mangsa yang dilihat berada di situ.

Loading...
Terkini