KOTA BHARU: Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cedera dirempuh kereta Perodua Kancil ketika sekatan jalan raya (SJR) Ops Pengarah JPJ Kelantan di hadapan Akademi Pengangkutan Jalan Wilayah Timur, di sini, malam tadi.
Pengarahnya, Mohd Misuari Abdullah berkata, anggota itu, Mohamed Azrin Abdul Wahab, 43, mengalami kecederaan di tangan dan kaki, menerima rawatan di klinik berhampiran.
Katanya, ketika kejadian, kereta berkenaan dipercayai dipandu warga asing memecut apabila menghampiri SJR, dengan Mohamed Azrin bertindak pantas melompat ke atas bonet hadapan bagi mengelak dilanggar.
“Dia jatuh di bahagian tepi kereta sebelum suspek terus memecut laju untuk melarikan diri.
“Laporan polis sudah dibuat untuk menahan suspek dan kereta itu berjaya dikesan serta disita. Kami mengesyaki ia kereta curi atau suspek berkemungkinan membawa barang terlarang,” katanya pada sidang media selepas operasi itu.
Mohd Misuari berkata, insiden sedemikian antara cabaran terpaksa ditempuh kakitangannya dan semua mereka sentiasa dinasihatkan agar berhati-hati.
Dalam pada itu, katanya, 19 individu menjalani ujian saringan, manakala sebuah daripada sembilan kenderaan diarah melakukan pemeriksaan di Puspakom.
Operasi itu bagi mengesan kenderaan persendirian dan perdagangan yang tidak mematuhi Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.