comscore
Tumpuan :
Jenayah

Anak tauke restoran yang hilang, ditemukan mati akibat dibunuh

Anggota polis menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan pacuan empat roda yang ditemui terbakar sebelum pencarian membawa kepada penemuan mayat mangsa dalam semak berdekatan

SANDAKAN: Misteri kehilangan seorang lelaki sejak Ahad lalu, terjawab apabila mayatnya ditemui dipercayai dibunuh di kawasan semak berdekatan sebuah ladang di Kampung Sungai Memanjang, di sini, hari ini.

Mayat mangsa dikenali sebagai Naufal Abdul Rashid, 35, ditemukan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, kira-kira jam 11 pagi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Ramasamy Kuppan, berkata pihaknya menerima laporan awal berhubung penemuan sebuah kenderaan pacuan empat roda terbakar di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, susulan itu sepasukan polis dikejarkan ke tempat berkenaan untuk pemeriksaan lanjut.

“Setiba di lokasi didapati sebuah kenderaan pacuan empat roda terbakar, namun tiada individu di dalam kenderaan berkenaan.

“Anggota polis kemudian menjalankan pemeriksaan di sekitar lokasi kenderaan itu dan menemui satu mayat lelaki yang disyaki berkaitan satu laporan orang hilang pada Ahad lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ramasamy berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess Of kent (HDOK) Sandakan untuk tujuan bedah siasat.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Sejak pagi, tular di media sosial berkaitan kehilangan seorang lelaki yang juga anak tauke restoran kira-kira jam 3 petang, Ahad lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini