Tumpuan :
Jenayah

Anak bunuh ibu: Motif pembunuhan disyaki kerana masalah peribadi, isu keagamaan

Peti sejuk beku yang dirampas oleh polis dalam kejadian kes anak bunuh ibu di sebuah rumah di Taman OUG. – FOTO: AUG

KUALA LUMPUR: Masalah peribadi ibu dan anak dipercayai menjadi motif seorang anak tergamak membunuh ibunya sebelum menyimpan dalam peti sejuk beku di rumah mereka di Taman OUG, di sini, sejak tiga tahun lalu.

Polis bagaimanapun tidak dapat menghuraikan secara terperinci mengenai masalah peribadi berkenaan namun tidak menolak kemungkinan ianya mempunyai kaitan isu keagamaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya bagaimanapun sedang mendalami siasatan termasuk mengumpul segala petunjuk yang ada bagi mengenalpasti sebab utama suspek membunuh wanita terbabit.

“Pada masa ini pihaknya masih mengumpulkan maklumat daripada saksi untuk menentusahkan dakwaan utama suspek membunuh ibunya kerana berkaitan agama.

“Pemeriksaan juga turut dilakukan termasuk melakukan proses pemeriksaan cap jari atau ujian asid deoksiribonukleik (DNA), walaupun suspek mengaku sebagai anak mangsa dan proses bedah siasat akan dilaksanakan pada hari ni bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa berusia 80-an itu.

“Suspek berusia 53 tahun itu direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan,” katanya kepada BH di sini, awal pagi tadi.

Rusdi berkata, setakat ini sejak kehilangan mangsa pada 2021, tidak ada mana-mana individu yang tampil membuat laporan polis tentang kehilangan mangsa.

“Semakan rekod mendapati suspek yang juga penganggur tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Meskipun suspek dilihat dalam keadaan tidak sihat selepas dilaporkan mengalami strok ketika pihak polis tiba di lokasi kejadian namun status sebenar keadaan kesihatannya sedang disemak oleh pihak hospital,” katanya.

Kejadian pembunuhan itu terbongkar semalam selepas suspek menghubungi talian kecemasan sebelum dia mendedahkan telah membunuh ibunya pada tahun 2021 sebelum menyimpan mayat itu dalam peti sejuk beku.

Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, bergegas ke lokasi kejadian pada jam 9 pagi semalam dan mendapati suspek terduduk dalam keadaan tidak sihat di sebelah peti ais berkenaan.

Berdasarkan maklumat, suspek menghubungi talian kecemasan kerana tidak dapat menahan kesakitan yang dialaminya sebelum pasukan perubatan dimaklumkan mengenai mayat ibunya yang disimpan dalam peti sejuk beku.

Suspek mendakwa menghadapi masalah kewangan apabila kehabisan wang simpanan selain mempunyai masalah kesihatan kronik.

Sepasukan polis telah bertindak menahan suspek di lokasi kejadian manakala mayat ibunya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini