comscore
Tumpuan :
Jenayah

Ali Rohingya dicekup, sindiket seludup PATI tumpas

Imigresen sita kenderaan yang digunakan Geng Ali untuk menyeludup PATI warga Myanmar di Kelantan. FOTO: Ihsan Imigresen

KUALA LUMPUR: Sedikan rumah ‘tumpang’ buat warga Myanmar yang mendarat di Kelantan sebelum dihantar ke ibu kota.

Itu kegiatan tekong darat didalangi individu dikenali ‘Ali Rohingya’ yang bergiat aktif sejak sejak enam bulan lalu.

Sindiket itu turut dibantu seorang lagi lelaki etnik Rohingya dikenali sebagai Rahim yang berperanan mengatur pergerakan warga asing.

FOTO: Ihsan Imigresen

Bagaimanapun, kegiatan terbabit berjaya dibongkar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi Pasukan Taktikal Khas Imigresen (Pastak) dalam Op Khas di sekitar Kota Bharu, Sabtu lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi yang bermula pada 1.00 pagi itu dijalankan rentetan daripada tangkapan Geng Bob pada 3 Februari lalu.

FOTO: Ihsan Imigresen

“Berdasarkan maklumat risikan, pasukan serbuan mengesan sebuah kenderaan dipercayai dipandu tekong darat sebelum berhenti di sebuah stesen minyak berhampiran Wakaf Che Yeh di Kota Bharu.

“Susulan itu, pasukan bertindak mengepung kenderaan suspek. Menyedari kenderaannya dihampiri pihak berkuasa, suspek bertindak memecut laju dan berlaku pelanggaran kecil dengan kenderaan pasukan operasi.

“Tindakan pantas anggota Pastak berjaya menahan suspek yang dikenali sebagai Ali berketurunan etnik Rohingya dan dipercayai dalang utama sindiket ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kereta Perodua Kelisa yang dipandu suspek menemui tiga wanita dan seorang lelaki warga Myanmar berusia antara 19 hingga 21 tahun.

Susulan penahanan Ali, pasukan serbuan menyerbu rumah di sekitar Pengkalan Kubor, Kota Bharu.

“Serbuan berjaya menangkap Rahim yang disyaki orang kanan Ali dan turut menahan empat lelaki warga Myanmar berusia lingkungan 16 hingga 27 tahun,” katanya yang memberitahu sebuah Perodua Viva turut dirampas.

Ruslin berkata, siasatan awal mendapati modus operandi sindiket adalah membawa masuk PATI warga Myanmar melalui laluan haram di sempadan pada waktu malam.

“PATI ditempatkan di rumah penampungan sebelum dipindahkan ke Kuala Lumpur menggunakan bas ekspres bagi mengaburi pihak berkuasa. Sindiket ini dipercayai beroperasi selama enam bulan dan mengenakan bayaran antara RM500 hingga RM1,000 seorang .

Menurutnya, pihaknya percaya dengan tertangkapnya dua tekong etnik Rohingya itu berjaya menumpaskan satu lagi sindiket penyeludupan PATI yang aktif di Kelantan.

Katanya, jabatan itu akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini