Oleh: Baharuddin Mohamed
MELAKA: Berbincang urusan perkahwinan antara alasan ‘kelakar’ yang diberikan seorang janda dan lelaki bujang yang dicekup di sebuah hotel bajet dalam Operasi Cegah Jenayah Syariah sempena cuti Thaipusam di sini, awal pagi tadi.
Mereka antara tiga pasangan yang dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang didapati berkhalwat dalam serbuan jam 2 pagi itu.
Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, janda berusia 32 tahun dan lelaki berumur 22 tahun itu dikatakan baru pertama kali bertemu selepas berkenalan di media sosial sejak tiga bulan lalu.
Hasil soal siasat, janda yang bercerai enam tahun lalu dan tidak mempunyai anak itu memberi alasan bertemu kekasihnya di hotel berkenaan bagi membincangkan urusan perkahwinan.
“Wanita yang tinggal di Klebang di sini memberi alasan mereka bermalam di hotel itu selepas kekasihnya berasal dari Kelantan bertemu dengan keluarganya pada sebelah siang.
“Mereka mendakwa ada perancangan untuk berkahwin dan sepatutnya hari ini, wanita itu pula akan ke Kelantan bertemu dengan keluarga teman lelakinya itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai operasi berkenaan bersama Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri Melaka, Akmal Nadzim Abdullah yang berakhir pukul 5 pagi tadi.
Menurutnya, lelaki itu yang masih bujang dan bekerja sendiri serta kekasihnya yang menganggur kemudian dibawa ke pejabat JAIM bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman.
Che Sukri berkata, dalam operasi selama lima jam itu, pihaknya berjaya menahan tiga pasangan kekasih berusia antara 23 tahun hingga 50 tahun.
Sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga 2 tahun atau kedua-duanya sekali.
“Dalam operasi sama, JAIM mengeluarkan tujuh saman hadir kepada tujuh individu mengikut Seksyen 71 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam.
“Sabit kesalahan mereka boleh didenda sehingga RM1,000 dan penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Tambahnya, pemeriksaan dilakukan di kawasan Pantai Puteri dan Pantai Klebang.