Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Penjawat awam antara 7 diberkas seludup dadah dalam lokap penjara

Oleh Azizi MajidJOHOR BAHRU: Polis Johor menumpaskan kegiatan penyeludupan dadah dalam lokap penjara susulan penahanan tujuh suspek termasuk seorang penjawat awam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, semua suspek terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita berusia antara 25 hingga 37 tahun itu ditahan di lima lokasi berasingan di Johor Bahru termasuk di Kompleks Mahkamah Johor Bahru, 15 Disember lalu.

Katanya, siasatan awal mendapati modus operandi kegiatan itu adalah dengan meminta orang kena tuduh (OKT) menelan dadah yang dibungkus dalam bentuk “barrel” sebelum diedar kepada OKT lain di dalam penjara.

Menurutnya, kegiatan itu terbongkar selepas pemeriksaan ke atas OKT dari reman Penjara Koreksional Ulu Choh sebaik selesai menjalani perbicaraan di Mahkamah Johor Bahru yang menemukan sejumlah dadah bersamanya.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat menunjukkan dadah dalam bentuk barrel yang dirampas bersama orang kena tuduh (OKT) pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

“Hasil pemeriksaan ke atas OKT terbabit telah menemukan sembilan biji balutan mampat dalam bentuk barrel berisi dadah yang disembunyikan dalam seluar dalam OKT.

“OKT itu juga dipercayai telah menelan sejumlah dadah berbentuk barrel itu semasa berada di Kompleks Mahkamah Johor Bahru hingga terpaksa melakukan pembedahan untuk mengeluarkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di Johor Bahru, pagi tadi.

Ujarnya lagi, susulan penahanan semua suspek polis berjaya merampas 44.74 gram ganja bernilai RM2,237, dan 28.84 gram syabu bernilai RM2,884 selain wang tunai berjumlah RM3,800.

Hasil ujian air kencing juga mendapati, dua daripada suspek positif dadah jenis Methampetamine manakala tiga daripadanya turut mempunyai rekod berkaitan dadah.

Semua suspek direman sehingga hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya.

Loading...
Terkini