KUALA LUMPUR: Seorang ahli farmasi warga Malaysia, Leong ‘KC’ Kum Chuan, 29, ditemui maut dipercayai ditikam bertubi-tubi oleh gelandangan di blok pangsapuri Bellfield di timur laut Melbourne, Rabu lalu.
Media asing melaporkan, polis menemui mayat Leong sekitar tengah hari selepas dia tidak datang bekerja sebaik mendapat laporan dari rakan sekerjanya.
Hasil siasatan polis mendapati rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan lelaki yang menghidap skizofrenia yang juga gelandangan dalang di sebalik pembunuhan itu.
Leong yang berkhidmat dengan Jabatan Kesihatan Timur Melbourne sejak 2021, digambarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Eastern Health, David Plunkett sebagai ‘pemimpin dan berbakat’ sebagai ahli farmasi muda.
Plunkett berkata, Leong akan dikenang kerana semangat, kebaikan dan dedikasinya kepada pasukannya dan komuniti yang lebih luas serta menganggap kematiannya sebagai tragedi yang akan dirasai oleh semua orang.
Difahamkan, Leong baru saja membeli dan berpindah ke rumah itu kira-kira enam bulan lalu.
Keluarga Leong tiba dari Malaysia pada Khamis lalu untuk bertemu dengan polis dan membincangkan kes itu dengan lebih lanjut.
Sementara itu, suspek, Simon Hunter, 54, didakwa di mahkamah di Melbourne atas pertuduhan membunuh ahli farmasi muda itu, Khamis lalu.
Bagaimanapun, prosiding terpaksa ditangguhkan kerana suspek berada dalam emosi tidak stabil dan peguamnya mengesahkan anak guamnya tidak mengambil ubat skizofrenia selama dua minggu.
Suspek dijangka akan menghadapi pertuduhan mahkamah pada Januari depan.
Dalam pada itu, penduduk terdengar kekecohan berhampiran rumah itu 12 jam sebelum mayat ditemui.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.