Tumpuan :
Jenayah

‘Adik pernah hadapi masalah jantung, tidak sangka semalam ajalnya’

Ahli keluarga dua beranak yang maut akibat ditikam dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Farlim, Ayer Itam, memenuhi perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), di Georgetown, Pulau Pinang.-FOTO: NSTP

GEORGETOWN: “Saya reda dengan kehilangan dua nyawa ini… Kita tidak tahu kematian kita bagaimana, tetapi inilah (asbab) kematian mereka,” kata isteri dan ibu kepada dua beranak yang maut ditikam seorang lelaki di hadapan lif sebuah pangsapuri di Ayer Itam, di sini, tengah hari semalam.

Wanita yang dikenali sebagai Khalida itu secara ringkas berkata demikian ketika ditemui pemberita di luar Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP).

Dia ditemani ahli keluarganya hadir untuk menuntut jenazah suami dan anak perempuannya sebelum keluar meninggalkan unit forensik.

Terdahulu media melaporkan polis menerima panggilan jam 12.54 tengah hari berhubung insiden menimpa dua beranak berkenaan daripada orang awam yang melihat seorang individu membawa pisau dalam keadaan mencurigakan di hadapan lif pangsapuri.

Mangsa Siti Zulaila, 30, bersama bapanya, Zulkifli Ibrahim, 62, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dialami mereka.

Sementara itu, kakak kepada Zulkifli iaitu Khadijah Ibrahim, 64, berkata, sebelum kejadian dia menerima panggilan telefon daripada adiknya yang secara tiba-tiba memberitahu dia sedang minum di sebuah restoran.

“Dia telefon masa itu jam 12.47 tengah hari sebelum dia terpaksa matikan panggilan sebab ada panggilan lain masuk.

“Saya syak panggilan itu dari anak perempuannya dan tidak lama kemudian jam 1.09 tengah hari saya dapat panggilan dari mak (kami) beritahu adik sudah tidak ada,” katanya.

Katanya, dia terkejut apabila mendapat perkhabaran duka itu kerana baru menerima panggilan telefon terakhir daripada adik lelakinya.

Dalam pada itu, Khadijah berkata, adiknya pernah menjalani pembedahan jantung beberapa tahun lalu yang ketika itu harapan hidup amat tipis.

“Doktor masa itu beritahu jantung adik saya berfungsi hanya dalam 20 peratus saja tetapi syukur dia masih hidup, namun tidak sangka semalam ajalnya sudah tiba.

“Arwah ini tidak pernah marah, meninggi suara dan lembut hati orangnya malah disenangi semua. Kali terakhir saya bertemunya ketika dia ambil saya di Kulim, Kedah dan pergi makan kenduri di Alor Setar pada 2 November lalu.

“Sepatutnya, arwah kata nak ikut konvoi ke Thailand tetapi hasratnya itu tidak kesampaian,” katanya.

Ketika ini proses bedah siasat terhadap dua beranak itu masih dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik HPP.

Jenazah dua beranak itu dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Tanjong Tokong, di sini selepas proses bedah siasat selesai.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini