KUALA LUMPUR: Tindakan segelintir kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) bersubahat dengan sindiket antara punca utama kartel pindah milik tanah berleluasa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata proses pindah milik tanah lazimnya memakan masa dan memerlukan prosedur yang terperinci.
Justeru, kehadiran ‘orang dalam’ yang bersekongkol dengan pihak kartel terbabit sehingga dengan mudah dapat menukar hak milik tanah tanpa pengetahuan pemilik asal.
“Pertama sekali kepada semua (kakitangan) PTG, tolong jangan bersekongkol dengan mana-mana sindiket untuk tujuan pemindahan tanah atau sebagainya.
“Dalam mana-mana agensi kerajaan pun, waima polis sekali pun, bukan semuanya bagus, ada ‘bad apples’ (kakitangan bermasalah) bak kata orang,” katanya pada sidang media di Menara KPJ, di sini, hari ini.
Menurutnya, kakitangan yang bermasalah ini boleh mengakibatkan kesan negatif yang besar walaupun jumlah mereka sedikit.
Katanya, berdasarkan beberapa kes yang disiasat ada berlaku pertukaran data tertentu milik mangsa dalam rekod PTG yang mana tidak mungkin berlaku sekiranya menjalankan tugas dengan amanah.
“Siasatan awal mendapati sindiket ini mengupah ‘orang dalam’ untuk mengeksploitasi sistem dengan memadam serta menghilangkan rekod-rekod berkaitan pindah milik hartanah.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pembabitan individu lain dalam jenayah ini,” katanya.
Terdahulu media melaporkan tujuh penjawat awam yang bertugas di sebuah PTG di Selangor antara 17 individu ditahan berhubung isu kartel terbabit.
Mereka terdiri daripada tujuh kakitangan pejabat tanah, termasuk seorang penolong pegawai hartanah (Gred NT32) dan 10 orang awam daripada pelbagai latar belakang berbeza.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.