Tumpuan :
Jenayah

9 PATI ditahan, bayar sehingga RM6,000 kepada sindiket

FOTO: NSTP

MERSING: Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) menuntut bayaran sebanyak RM3,000 dan RM6,000 seorang, selain menjanjikan pekerjaan tetap di negara ini.

Itu modus operandi yang berjaya dibongkar Jabatan Imigresen Johor berikutan penahanan tiga lelaki warga Myanmar dan enam lelaki warga Indonesia di sekitar daerah ini, dalam satu operasi yang berakhir jam 5 pagi tadi.

Pengarah Jabatan Imigresen Johor, Baharuddin Tahir, berkata semua PATI yang berusia antara 20-an hingga 40-an itu dibawa masuk secara haram ke negara ini melalui Thailand dan perairan Johor.

Bagaimanapun, katanya, ada di antaranya memasuki Malaysia secara sah tetapi tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

“Dalam tangkapan pertama di sebuah kebun tanaman di Jalan Jemaluang-Kluang, tiga lelaki warga Myanmar berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an mendakwa sudah berada di negara ini selama tiga bulan.

“Pekerja kebun Myanmar itu memasuki Malaysia secara haram melalui Thailand terus ke Mersing menggunakan jalan darat dan membayar RM6,000 setiap seorang kepada ejen untuk masuk ke Malaysia serta dijanjikan pekerjaan.

“Dalam tangkapan kedua di kawasan kebun kelapa sawit dan perumahan Felda Endau, enam PATI Indonesia berusia dalam lingkungan 20-an hingga 40-an mendakwa sudah berada di negara ini sejak lima bulan hingga dua tahun.

“PATI Indonesia ini bekerja sebagai pekerja ladang kelapa sawit dan masing-masing memasuki negara ini melalui Tanjung Pengelih dengan menaiki feri, masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), menaiki bot secara haram melalui Batam ke Kota Tinggi dan Tanjung Leman.

Baharuddin berkata, tangkapan dilakukan berdasarkan maklumat awam dan risikan selama tiga hari di lokasi dan semua PATI ditahan 14 hari dari tarikh tangkap selaras Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63.

“Semua PATI disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini.

Loading...
Terkini