Oleh: Farah Nabilah Wazer
KUALA LUMPUR: Polis berjaya menyelesaikan 70 peratus kes jenayah keseluruhan yang dilaporkan tahun lepas.
Menurut Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, jumlah itu melibatkan 40,631 kes daripada keseluruhan 58,225 kes yang dilaporkan.
Bagaimanapun, pengarahnya, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain berkata, indeks jenayah meningkat hampir 6,000 kes atau 11.1 peratus berbanding tempoh sama pada tahun 2023.
“Jenayah melibatkan samun berkawan bersenjata api dan mencederakan mencatat peningkatan tertinggi,” katanya.
Jenayah bukan indeks atau jenayah kategori harta benda juga merekodkan peningkatan dengan 8,273 kes atau 13 peratus, berbanding tahun sebelumnya.
Sehubungan itu, JSJ bakal menubuhkan satu pasukan khas bagi mengkaji statistik jenayah bagi tempoh 2023/2024.
“Berdasarkan statistik yang dikeluarkan, semua negeri akan dipanggil untuk membincangkan langkah-langkah untuk mengekalkan kejayaan dan mengurangkan kadar jenayah di negeri masing-masing,” ujarnya ketika ditemui pemberita dalam satu sesi libat urus bersama media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, siang tadi.
Menurutnya, hasil kajian tersebut akan dibentangkan kepada Ketua Polis Negara sebelum disampaikan kepada pembuat dasar.
Katanya, kes rogol mencatat 8.4 peratus peningkatan terutamanya membabitkan mangsa bawah umur.
Kes curi harta benda turut mencatat peningkatan ketara dengan 36.7 peratus, diikuti curi kenderaan dan motokar.
Sementara itu, Kuala Lumpur merekodkan peningkatan kadar jenayah indeks tertinggi dengan 69.4 peratus, diikuti perak dengan 66.9 peratus.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.