KUALA LUMPUR: Berselindung di sebalik lapan buah premis rumah urut sebaliknya menawarkan khidmat seks wanita warga asing.
Itu taktik digunakan sebuah sindiket pelacuran yang berjaya dibongkar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi serbuan Operasi Khas di lapan lokasi berbeza di sekitar Lembah Klang semalam.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Ruslin Jusoh berkata, keseluruhannya 75 individu diberkas dalam operasi itu yang terdiri daripada 57 wanita warga asing dipercayai pelacur.
“Risikan mendapati, pelanggan akan hadir sendiri ke premis terbabit dan memilih wanita warganegara asing berdasarkan katalog yang diberikan, pelanggan juga boleh memilih wanita berdasarkan foto di aplikasi Telegram dan WhatsApp.
“Pelanggan yang berminat membuat bayaran secara tunai bermula RM100 hingga RM400 untuk sejam akan diberikan kepada penjaga premis sebelum memasuki bilik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi itu dijalankan di dua lokasi sekitar Jalan Tun Razak, di sini dan masing-masing satu di sekitar Jalan Pudu, di sini; Kampung Baru Subang, Shah Alam; Pusat Bandar Puchong, Puchong; serta Taman Andalas Jaya, Taman Bayu, dan Klang Central di Klang.
Katanya, operasi diaturgerak bermula 1.45 petang oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM Putrajaya susulan risikan selama dua minggu berdasarkan maklumat dan aduan awam.
“57 wanita ditahan adalah dari Indonesia seramai 32 orang, Bangladesh (11), Vietnam (lapan), dan India (enam) dan tangkapan lelaki warga Bangladesh (tujuh), Myanmar (dua), Indonesia (satu) kesemuanya berusia lingkungan 17 hingga 46 tahun.
“Turut ditahan, tujuh lelaki dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 23 hingga 65 tahun,”katanya.
Ruslin berkata semakan mendapati 13 wanita Indonesia dan empat wanita Vietnam memiliki pas perjalanan yang sah manakala dua wanita Indonesia dan seorang wanita Vietnam didapati tinggal lebih masa.
Katanya, baki warga asing yang ditahan didapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah untuk berada di dalam negara.
Menurutnya, pasukan operasi merampas 15 pasport Indonesia, lima pasport Vietnam, wang tunai RM1,750, set komputer dan 10 buku kerja daftar pelanggan.
“Kesemua warga asing ditahan di Depot Imigresen Semenyih kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Paspot 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
“Manakala kesemua warga tempatan disyaki bekerja sebagai penjaga premis ditahan di bawah Seksyen 56(1)(d) dan Seksyen Akta Imigresen 1959/63.
“Pada masa sama, empat lelaki warga asing, 14 lelaki dan seorang wanita tempatan diberikan notis hadir ke pejabat (JIM) bagi membantu siasatan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa