PASIR MAS: Lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ditahan pihak berkuasa selepas dikesan menyorok di kebun kelapa sawit dalam serbuan di Kampung Kubang Binjai, di sini, jam 6.30 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed, berkata bertindak atas maklumat, anggota bertugas membuat intipan sebelum mendapati terdapat kumpulan PATI berusia 19 hingga 40 tahun sedang bersembunyi di kebun itu.
Katanya, anggota kemudian mendekati kumpulan yang terdiri daripada tujuh lelaki serta seorang wanita berkenaan dan memperkenalkan diri sebagai pihak berkuasa sebelum meminta kesemua PATI terbabit mengeluarkan dokumen pengenalan diri.
“Bagaimanapun, kesemua daripada mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah untuk berada di dalam negara.
“Hasil soal siasat mendapati, mereka masuk secara haram melalui jalan sungai dan ditempatkan sementara di kebun terbabit sebelum dibawa oleh tekong ke lokasi yang ditetapkan.
“Selain itu, Kesemua PATI ini dipercayai mahu ke Kuala Lumpur untuk tujuan bekerja dalam pelbagai sektor,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Kama berkata, anggota menahan kesemua PATI untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Pasir Mas dan kes disiasat dibawah Seksyen51 (3) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu peruntukan menahan warganegara asing yang ditangkap untuk siasatan lanjut.
“Kesemua tangkapan direman selamat 14 hari bermula 20 Mei sehingga 3 Jun bagi tujuan siasatan.
“PenangkapanPATI ini hasil pendekatan yang digunakan oleh pihak kami melalui kawalan di lapisan kedua menerusi Ketua Polis Daerah dengan penugasan rondaan dan snap chek oleh Unit Unit Kereta Peronda MPVdi kawasan sempadan.
“Manakala, lapisan pertama adalah kawalan sempadan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) dan sekatan jalan raya (SJR) di sekitara sempadan Malaysia-Thailand,” katanya.
Menurutnya, pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemasukan PATI atau sebarang aktiviti mencurigakan untuk menyalurkannya ke balai polis berhampiran agar tindakan pencegahan dapat diambil.