comscore
Tumpuan :
Jenayah

8.5 tan minyak masak untuk diseludup ke Thailand dirampas

Sebahagian daripada 8.5 tan minyak masak bersubsidi yang dirampas di ladang kelapa sawit di Felda Kemahang 3. – FOTO: Ihsan KPDN

TANAH MERAH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menyerbu ladang kelapa sawit di Felda Kemahang 3 dipercayai dijadikan lokasi transit sementara bagi aktiviti penyeludupan minyak masak.

Serbuan jam 10 malam tadi menemui 8.5 tan minyak masak bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM21,250 dalam sebuah lori disyaki untuk diseludup ke Thailand.

Pengarahnya KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, pihaknya mengekori sebuah lori jenis Isuzu dengan nombor pendaftaran tempatan disyaki membawa minyak masak paket 1 kilogram (kg) bersubsidi dari arah Jeli menghala ke Tanah Merah.

“Sebanyak 8.5 tan minyak masak ditemukan di lokasi iaitu disusun dalam lori berkenaan selain kereta jenis Proton Wira yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

“Kita percaya kawasan ladang kelapa sawit itu dijadikan sebagai tempat transit sementara bagi proses pemunggahan untuk penyelewengan barangan bersubsidi,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Azman berkata, pihaknya juga menemui dua buah motosikal disyaki milik individu yang melarikan diri dan semua barang rampasan bernilai RM105,250 disita untuk siasatan lanjut.

Modus operandi yang digunakan adalah mendapatkan bekalan minyak masak daripada luar Kelantan dan akan disimpan sementara di suatu tempat seterusnya dibawa ke kawasan ladang sekitar sempadan negara.

“Kes ini akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi pertuduhan di Mahkamah selanjutnya.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-dua sekali bagi individu dan RM2 juta bagi perbadanan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Loading...
Terkini