Tumpuan :
Jenayah

7,938 individu terbabit kes dadah di Negeri Sembilan ditahan tahun ini

Foto hiasan

SEREMBAN: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri Sembilan menahan seramai 7,938 individu terbabit dengan jenayah dadah pelbagai kategori di seluruh negeri itu, sehingga September lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, berdasarkan rekod juga pihaknya merampas pelbagai dadah dianggarkan bernilai lebih RM1 juta bagi tempoh sama.

“Jumlah tangkapan bagi kes kesalahan dadah bagi tempoh Januari hingga September iaitu seramai 602 individu bagi kategori pengedar dan 1,624 kerana memiliki termasuk mengikut Akta Racun 1952 manakala bagi kategori penagih, seramai 3459 individu ditahan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Beliau berkata, JSJN juga mengambil tindakan mengikut Seksyen 3(1), 15(1)(a) dan 39C (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) serta waran tangkap.

“Seramai 1,938 ditahan kerana mempunyai waran tangkap, 33 bagi LLPK manakala seramai 282 lagi ditahan mengikut Seksyen 39C ADB,” katanya.

Beliau berkata, bagi tempoh Januari sehingga September lalu, JSJN merampas 3,710 gram heroin, 2,636 gram ganja, 2,540 syabu, 284,568 gram daun ketum, 11,716 liter air ketum dan pelbagai jenis dadah lain dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1 juta.

Jelas beliau, pihaknya turut memberi tumpuan tangkapan terhadap pengedar dengan melumpuhkan ekonomi kumpulan itu dan menyita aset mereka.

“Kami memohon kerjasama masyarakat untuk membantu menyalurkan maklumat dalam usaha menghapuskan dadah di Negeri Sembilan.

“Polis juga menasihatkan kepada masyarakat supaya lebih prihatin dengan keadaan sekeliling dalam mencegah sebarang kesalahan dan kegiatan dadah berbahaya,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini