comscore
Tumpuan :
Jenayah

790,000 batang rokok putih dirampas di Tumpat, Kota Bharu

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi (tengah) bersama anggotanya menunjukkan 790,000 batang rokok putih yang dibawa seludup di dua lokasi berasingan di Tumpat dan Kota Bharu.

PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menggagalkan dua cubaan menyeludup 790,000 batang rokok putih di dua lokasi berasingan di Tumpat dan Kota Bharu.

Serbuan pada Jumaat dan semalam itu turut merampas sebuah bot pancung, tiga enjin kuasa kuda membabitkan nilai keseluruhan rampasan termasuk rokok dan bot bernilai RM600,000.

Pengarah, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi, berkata serbuan pertama dilakukan di perairan Tumpat pada jam 4.30 pagi Jumaat lalu hasil maklumat risikan yang dilakukan pihaknya.

“Bot pancung tanpa nombor pendaftaran itu dikesan bergerak dalam keadaan laju dan mencurigakan di muara sungai di Tumpat.

“Kita mengejar bot pancung berkenaan selama 20 minit sehingga memasuki kawasan hutan bakau dan penyeludup bertindak merempuh pokok bakau sebelum melarikan diri.

“Bot pancung berkenaan ditahan di kedudukan 5 batu nautika dari muara Pengkalan Kubor dan pemeriksaan mendapati terdapat 510,000 batang rokok putih dengan anggaran nilai RM180,000,” katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Katanya, hasil serbuan berkenaan pihaknya turut merampas tiga enjin 200 kuasa kuda dan nilai rampasan keseluruhan termasuk bot dan rokok sebanyak RM500,000.

“Kita percaya bot berkenaan dinaiki dua penyeludup,” katanya.

Beliau berkata, serbuan kedua pula dilakukan di tebing sungai di Pulau Gagak tengah malam tadi yang membawa kepada rampasan 280,000 batang rokok bernilai RM100,000.

“Rampasan dilakukan jam 12.30 tengah malam tadi selepas kita mendapat maklumat berlaku kegiatan penyeludupan rokok.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kita mendapati rokok putih seludup itu ditinggalkan di tepi tebung,” katanya.

Erwan Shah berkata, bekalan rokok terbabit dipercayai dari negara jiran untuk pasaran tempatan dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini