RAWANG: Seramai 78 remaja diberkas polis selepas dikesan menyertai aktiviti perlumbaan haram di Bandar Tasik Puteri, Rawang, malam tadi.
Sejak 1 Ramadan lalu, kegiatan haram yang dilakukan hampir setiap malam menyebabkan kacau ganggu kepada penduduk apabila remaja terbabit berlumba beramai ramai sehingga jam 1 pagi.
Rata-rata ditahan polis membabitkan remaja sekolah berusia seawal 13 tahun yang dikesan menggunakan motosikal milik keluarga untuk berlumba haram di Persiaran Tan Sri Low Yow Chuan di Bandar Tasik Puteri di sini.
Jurucakap polis berkata, kebanyakan remaja ini akan berkumpul ‘memanas enjin’ di pinggir jalan sebelum memulakan perlumbaan berkumpulan antara lima hingga 10 motosikal secara bergilir-gilir.
Susulan itu satu operasi besar-besaran dilakukan pihak polis Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) daerah Gombak bermula jam 9 malam tadi.
“Operasi diketuai Inspektor Shahidan Ab Wahab, Inspektor Zharif Zakaria dan Inspektor Suharman Che Musa selain 32 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Balai Polis Rawang serta Balai Polis Kundang.
“Hasil penyamaran dilakukan, pihak polis berjaya menahan 56 motosikal selain 78 penunggang dan pembonceng motosikal,” katanya.
Bagaimanapun terdapat penunggang motosikal terbabit bertindak lari meninggalkan lima motosikal di dalam belukar berhampiran lokasi `garis permulaan’ perlumbaan.
“Ada juga peserta lumba haram ini hampir melanggar anggota polis ketika cuba memecut melarikan diri,” katanya.
Menurutnya, rata-rata `mat rempit’ muda terbabit didapati melakukan kesalahan berlumba haram, menunggang motosikal tanpa lesen dan tidak memakai topi keledar.
“Malah motosikal digunakan turut diubah suai dengan menggunakan tayar nipis atau `tayar sotong’ serta dipasang ekzos bising untuk tujuan berlumba.
“Malah ada motosikal turut tidak memiliki cukai jalan serta tidak dipasang nombor plat hadapan dan belakang. Polis tidak memberi muka apabila semua motosikal yang ditahan kemudian diangkut menggunakan trak polis ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.
“Sebanyak 102 kompaun dikeluarkan terhadap penunggang dan pembonceng motosikal. Selain itu 40 motosikal turut disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Polis akan memanggil pemilik motosikal berkenaan untuk disiasat dan dikenakan saman,” katanya.