SHAH ALAM: Seramai tujuh lelaki warganegara asing ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki di Telok Panglima Garang, Kuala Langat dekat sini, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintenden Mohd Sufian Amin berkata, polis menerima laporan berhubung kes terbabit daripada seorang wanita tempatan yang membuat panggilan MERS999 kira-kira jam 7.20 malam tadi.
“Wanita itu melaporkan ternampak seorang lelaki warganegara asing terbaring di tepi jalan di kawasan itu dipercayai cedera ditikam.
“Kemudian, kira-kira jam 8 malam polis tiba di tempat kejadian dan pihak Hospital Banting mengesahkan kematian mangsa.
“Siasatan awal mendapati, lelaki warganegara asing yang berumur 34 tahun itu ditikam dengan satu tikaman di bahagian rusuk sebelah kiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Sufian berkata, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran, dipercayai seorang lelaki bergelut dengan si mati sebelum melarikan diri.
“Kira-kira jam 9 malam tadi, polis berjaya menahan tujuh lelaki warganegara asing yang berumur lingkungan 30 hingga 49 tahun.
“Kesemua tangkapan ditahan reman selamat enam hari sehingga 25 November depan bagi tujuan siasatan lanjut.
“Semakan mendapati, kesemua suspek yang ditangkap bukan satu negara dengan mangsa yang mati ditikam,” katanya.
Beliau berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kejadian dan pembabitan kesemua suspek dalam kes yang disiasat.
“Polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di 03-31872222,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.