Oleh : Fazli Ahmad
RAUB: Tujuh lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh seorang warga Myanmmar di Kampung Sungai Chalit di Sungai Ruan dekat sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata kira-kira jam 8:45 malam, Rabu lalu polis menerima laporan daripada wakil Pertubuhan Etnik Myanmar (MEO) mendakwa seorang lelaki Myanmar dipukul sekumpulan lelaki tempatan pada petang Selasa.
Menurutnya, mangsa dirawat di Hospital Raub dan meninggal dunia kira-kira jam 8:56 petang, Selasa lalu.
Katanya, laporan awal pakar perubatan memaklumkan punca kematian lelaki terbabit disebabkan kecederaan teruk di bahagian otak.
“Susulan kejadian itu polis menahan tujuh lelaki tempatan berusia antara 22 dan 42 tahun bagi membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.
Semua suspek direman selama tujuh hari hingga 31 Ogos ini bagi membantu siasatan.
Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.