JOHOR BAHRU: Sebanyak tujuh kertas siasatan telah dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung penyebaran berita palsu, sentimen perkauman dan artikel kebencian berunsur perkauman sejak 1 Disember lalu.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, tindakan penguatkuasaan itu diambil menerusi penubuhan Pasukan Khas Menangani Berita Palsu yang diwujudkan sejak 1 Disember tahun lalu.
Katanya, pihak kementerian sedang menunggu tindakan selanjutnya yang kini dalam tindakan Pejabat Peguam Negara.
“Bagi tempoh 1 Disember 2022 sehingga 6 Januari 2023, sebanyak tujuh kertas siasatan bagi hantaran media sosial yang berunsurkan 3R (Rulers, Race, Religion) telah dibuka dan dalam siasatan PDRM dan Jabatan Peguam Negara.
“Kertas siasatan dibuka PDRM membabitkan kesalahan dalam penulisan artikel berkaitan berita kebencian, menghina Raja-Raja, perkauman dan juga sentimen agama. “Ini penting kerana ia merupakan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong dan juga Sultan-Sultan di negara ini.”
“Oleh itu, kita telah bekerjasama dengan PDRM dan Peguam Negara untuk memastikan sebarang kesalahan dibuat membabitkan perkara-perkara tersebut akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke konti Johor fm dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Johor, di sini hari ini.
Menurut Nie Ching, kerajaan tidak berhasrat untuk menyekat akses masyarakat kepada dunia digital melalui pelbagai platform media sosial yang tersedia masa kini.
Namun, berusaha memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat agar menghentikan penyebaran berita palsu.
“Sekarang media sosial sudah menjadi platform yang diguna pakai semua orang, kita tidak boleh hentikan akses mereka dan itu bukan hasrat kerajaan.
“Kebebasan bersuara adalah ciri penting yang menunjangi sistem demokrasi. Sebagai sebuah negara demokrasi, saya yakin bahawa setiap warga mempunyai kebebasan untuk menyatakan pendapat dan kritikan.
“Bagaimanapun kita perlu ingat bahawa kebebasan bersuara ini bukan bermakna anda ada kebebasan untuk berbohong dan menghasut,” katanya.
Beliau berkata perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
“Tetapi kita mahu didik dan tingkatkan literasi digital supaya rakyat menjadi lebih celik digital untuk mendapatkan info sahih, khususnya melalui agensi berita tempatan seperti RTM, BERNAMA dan Jabatan Penerangan,” katanya. – BERITA HARIAN