Tumpuan :
Jenayah

6 Tokan Dicekup Edar Dadah RM34,300

Oleh: Baharuddin Mohamed

Polis merampas dadah pelbagai jenis dadah termasuk heroin dan syabu bernilai RM34,300

MELAKA: Polis Melaka menahan enam tokan yang disyaki bergiat aktif dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar Melaka Tengah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kesemua saspek berusia antara 33 hingga 55 tahun itu dicekup dalam tiga serbuan berasingan di sekitar daerah berkenaan, semalam.

Dalam serbuan yang dilakukan antara jam 2 petang hingga 7.15 malam itu, kata beliau, polis turut merampas dadah pelbagai jenis dadah termasuk heroin dan syabu bernilai RM34,300.

“Antara yang dirampas ialah 960.72 gram heroin, 4.4 gram syabu selain sebuah kereta Proton Waja, dua buah motosikal, sebuah beg sandang dan tiga anak kunci,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Christopher, kesemua dadah yang dirampas itu dipercayai untuk pasaran tempatan.

Ujar beliau, ujian saringan air kencing terhadap kesemua saspek mendapati positif morfin dan methapitamin.

Siasatan awal juga katanya, mendapati kesemua saspek yang bekerja buruh kontrak dan penganggur itu mempunyai rekod jenayah berkaitan narkotik.

“Tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya Perlucutanhak harta 1988 juga dikenakan ke atas sebuah kereta Proton Waja yang telah disita.

“Semua suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam untuk membantu siasatan,” katanya.

Kes berkenaan tambahnya, disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A (2) dan Seksyen 15(1) akta sama.

Loading...
Terkini