KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga warga tempatan dan tiga warga asing susulan serbuan di premis yang disyaki terbabit kegiatan penyeludupan besi dan logam dari luar negara pada 17 Januari lalu.
Turut dirampas pelbagai barang dianggarkan bernilai RM113.9 bilion (RM113,857,167.45) antaranya 8,939 tan besi dan keluli industri; 13,600 keping ‘truss/c Channel’; 12,225 unit ‘prefabricated steel frame scaffolding’ dan 714,416 unit pelbagai jenis produk logam serta 61 unit mesin pelbagai jenis ALAT memproses besi dan keluli selain dokumen invois dan resit setiap syarikat.
Tindakan itu dilakukan dalam Op Padu dilaksanakan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, pemeriksaan dilakukan di tujuh premis syarikat yang memproses dan membekal produk besi dan logam untuk sektor pembinaan.
Katanya, hasil pemeriksaan pihaknya mengesan pelbagai kesalahan termasuk kegagalan mengemukakan dokumen perakuan pematuhan standard (PPS) yang sah bagi produk besi dan logam yang diimport.
“Seramai tiga warga tempatan dan tiga warga asing berusia 33 hingga 50 tahun ditahan dalam operasi berkenaan. Warga tempatan berperanan sebagai pemilik pengurus syarikat.
“Kilang itu juga dikesan menggajikan warga asing sebagai pekerja,” katanya dalam kenyataan, di sini .
Menurutnya, pasukan serbuan juga menemui sejumlah produk logam yang dikategorikan sebagai ‘end product’ tanpa perakauan PPS yang sah oleh CIDB untuk kegunaan sektor pembinaan dalam negara.
Katanya, selain itu terdapat juga produk besi dan logam yang dikategorikan sebagai ‘semi-finished product’ yang dipercayai diimport secara tidak sah.
“Penggunaan produk logam dan besi yang tidak mematuhi standard piawaian oleh pihak berkuasa piawaian di Malaysia boleh mendatangkan risiko keselamatan awam.
“Kualiti material produk besi dan logam digunakan dalam semua sektor industri domestik perlu diperakui oleh CIDB atau Sirim sebelum digunakan dalam industri,* katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 33D Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520), Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Tangkapan dan rampasan mengikut Akta Imigresen dan Akta Kastam 1967 diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah terbabit, manakala kesalahan di bawah Seksyen 33D Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520) sudah diambil tindakan sitaan oleh CIDB.
“Kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 diambil tindakan kompaun oleh JAS kerana tiada sistem pengolahan efluen bagi aktiviti industri,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.