Tumpuan :
Jenayah

6 das tembakan dilepaskan, suami, isteri terselamat dari cubaan bunuh

Enam das tembakan dilepaskan di sebuah kediaman di Kampung Bukit Batu Machap, Simpang Renggam, di Kluang Johor. – FOTO: Ihsan Polis

KLUANG: Sepasangan suami isteri terselamat daripada cubaan bunuh apabila enam das tembakan dilepaskan di kediaman mereka di Kampung Bukit Batu Machap, Simpang Renggam, di sini tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pasangan itu bernasib baik kerana peluru dilepaskan tidak mengenai mereka dan hanya tersasar ke sekitar lokasi kejadian.

“Semalam lebih kurang 12.17 tengah hari, semasa pengadu Dian Yulandi Suboh, 36, berada di rumah, ternampak sebuah Perodua Bezza maroon masuk ke halaman rumahnya.

“Semasa kejadian pengadu sedang berdiri di hadapan pintu rumah telah didatangi tiga lelaki.

Foto adalah Man Tiger, salah seorang suspek dalam kes itu. – FOTO: Ihsan Polis

“Salah seorang suspek telah mengeluarkan pistol dari pinggang dan kemudian mengacu dan melepaskan empat das tembakan ke arah pengadu dan suaminya.

“Suspek kemudian melarikan diri dan melepaskan dua lagi das tembakan,” katanya tiada sebarang kecederaan dialami mangsa.

Bahrin berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan polis berjaya menahan seorang daripada suspek yang mempunyai 27 kes jenayah lampau dikenali sebagai Man Tiger.

“Salah seorang suspek dikenali sebagai Man Tiger, 32, berasal dari Simpang Renggam positif dadah jenis methamphetamine hasil ujian saringan urin yang dijalankan,” katanya.

Bahrin berkata, pihaknya mengenal pasti tujuh lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kes itu dan kini diburu polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjatapi 1971 (Penalti Lebih Berat) dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ketika diminta mengulas lebih terperinci mengenai kes itu Bahrin berkata, semuanya masih dalam siasatan polis.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini