comscore
Tumpuan :
Jenayah

58 Saman Lalu Lintas Babit Remaja Bawah Umur

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Sebanyak 58 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka bagi kesalahan membabitkan remaja bawah umur yang dikesan memandu dan menunggang di jalan raya bagi bagi tempoh Januari hingga bulan ini.

Pengarah JPJ negeri, Muhammad Firdaus Shariff berkata, daripada 58 kenderaan yang dikenakan saman, 54 daripadanya membabitkan kenderaan persendirian manakala selebihnya adalah perdagangan.

Beliau berkata, empat kawasan panas yang sering menjadi tumpuan remaja ialah Lorong Pandan, Tangga Batu, Jalan Tengkera, Serkam dan Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA).

“Membenarkan remaja bawah umur memandu atau menunggang tanpa lesen adalah satu kesalahan.

“Jika berlaku perkara tidak diingini sudah tentu akan melibatkan banyak pihak, lebih buruk lagi jika membabitkan kehilangan nyawa.

“Bagi kes remaja ini kami juga menghubungi penjaga atau pemilik kenderaan, mereka diingatkan supaya tidak membenarkan anak atau sesiapa yang dibawah umur memandu atau menunggang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Firdaus berkata, dalam tempoh berkenaan, bulan Mei dan Ogos mencatatkan rekod saman paling tinggi iaitu masing-masing 14 dan 12 notis.

Katanya, bulan Februari, September dan Oktober paling rendah iaitu masing-masing dua notis saman dikeluarkan.

Kesemua notis saman diambil tindakan di bawah Seksyen 39 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu di bawah umur (kurang di bawah 16 tahun).

“Di bawah peraturan ini, kedua-dua pemandu atau penunggang serta pemilik kenderaan akan dikenakan tindakan undang-undang,” tegasnya.

Tambah beliau, pihaknya akan terus melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin dan pematuhan undang-undang lalu lintas sentiasa dipatuhi.

Loading...
Terkini