TUMPAT: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya merampas 539,400 batang rokok seludup bernilai hampir RM470,000 termasuk cukai, dipercayai untuk bekalan pekerja sebuah projek mega di Lembah Klang.
Rampasan dilakukan di Kampung Belimbing, Tanah Merah pada jam 11 pagi Ahad lalu, melibatkan penahanan sebuah lori dan pasangan suami isteri berusia 34 tahun yang merupakan pemandu dan pembantu lori tersebut.
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, berkata operasi itu hasil intipan selama dua minggu sebelum lori terbabit ditahan.
Menurut beliau, lori berkenaan berasal dari Lembah Klang dan dihantar ke Kelantan untuk mengambil bekalan rokok seludup sebelum kembali ke Lembah Klang dengan upah RM600.
“Bekalan rokok berkenaan dipercayai dari negara jiran sebelum diseludup masuk ke Kelantan menerusi jeti haram.
“Nilai rampasan rokok berjumlah RM102,486 dan cukai RM366,252. Kita turut merampas lori bernilai RM180,000. Nilai rampasan keseluruhan adalah sebanyak RM648,736,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Katanya, berdasarkan jenama rokok yang dirampas, bekalan ini dipercayai untuk pekerja sebuah projek mega di Lembah Klang selain sempena Tahun Baru Cina kerana rokok ini tidak dijual di kedai.
Beliau berkata, suami isteri berkenaan kini ditahan reman selama 10 hari untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. Orang ramai diminta membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.