KUCHING: Polis Sarawak merampas 52.516 kilogram syabu bernilai RM1.89 juta dalam serbuan di sebuah kondominium di Batu Kawa, semalam.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, remaja lelaki berusia 18 tahun turut ditahan dalam serbuan kira-kira jam 1.30 pagi itu.
Beliau berkata, ia adalah rampasan dadah terbesar oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, tahun ini.
“Suspek kini ditahan reman sehingga 25 Mei untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau serta negatif dadah dan dia dikenalpasti mula mengedar dadah sejak bulan lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua JSJN Sarawak, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah.
Mengulas lanjut, Mohd Azman berkata, suspek menerima dadah yang dimasukkan di dalam bungkusan teh Cina itu menerusi perkhidmatan kurier daripada sindiket dadah di Semenanjung untuk dijual di Kuching dan daerah lain berhampiran.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas kereta suspek yang dianggarkan bernilai RM40,000.