Tumpuan :
Jenayah

5 yang ditembak di perairan Tanjung Rhu serang penguat kuasa Maritim Malaysia

Dua lelaki ditemui dalam sebuah bot fiber yang tersadai di beting lumpur di Pulau Carey, Kuala Langat, semalam. FOTO: Maritim Malaysia

KUALA LUMPUR: Lima lelaki yang ditembak di perairan Tanjung Rhu, Banting, awal pagi semalam dilaporkan telah menyerang pegawai Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang sedang melakukan rondaan.

Bot yang dinaiki suspek dilaporkan telah melanggar bot Maritim sebanyak empat kali sebelum dua daripada mereka cuba menyerang pegawai penguat kuasa dengan parang.

Atas faktor keselamatan dan mempertahankan diri pegawai Maritim melepaskan tembakan ke arah bot dinaiki suspek yang kemudian melarikan diri dalam gelap.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihak Maritim kemudian menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan sebuah bot yang terdampar di Pantai Banting, pada jam 9 pagi hari yang sama.

“Pihak Maritim telah bergerak ke lokasi sebelum menemui dua lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum menunda bot dinaiki mereka ke pengkalan Maritim di Pelabuhan Klang, serta mendapatkan bantuan ambulans.

“Pemeriksaan mendapati seorang lelaki telah meninggal dunia, manakala seorang lagi ditemui masih hidup dan dalam keadaan kritikal.

“Suspek yang cedera kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang, untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hussein berkata, sekitar jam 7.30 pagi semalam, tidak lama selepas kejadian tembakan itu berlaku, satu laporan polis dibuat oleh Pegawai Perubatan, Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, yang menyatakan menerima tiga pesakit lelaki disyaki warga asing dalam keadaan sedar yang cedera akibat tembakan pada anggota badan mereka.

“Siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun.

“Kes ini juga turut disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas yang boleh memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 bagi kesalahan melepaskan tembakan yang memperuntukkan hukuman penjara selama setahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini