comscore
Tumpuan :
Jenayah

5 Nelayan Ditahan Menangguk 200Kg Gamat Secara Haram

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan lima nelayan  warga Vietnam, termasuk seorang tekong dipercayai menangguk 200 kilogram (kg) gamat secara haram di perairan negara, semalam.

Pengarah APMM Kelantan Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata kesemua lelaki itu ditahan apabila pasukan bot ronda mengesan bot dinaiki mereka sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan 42.7 batu nautika dari muara Tok Bali, pada 5.55 petang.

“Mereka (nelayan Vietnam) menyedari kehadiran bot APMM, kemudian cuba melarikan diri ke negara mereka, bagaimanapun berjaya ditahan setelah mengejar bot mereka kira-kira 15 minit.

“Pemeriksaan lanjut ke atas bot itu, menjumpai 200kg gamat, 2,000 liter minyak diesel dan sebuah bot yang turut dirampas dan jumlah keseluruhan rampasan adalah RM300,000,” katanya pada sidang media Ibu Pejabat APMM Tok Bali, di sini hari ini.

Menjelas lanjut, Muhd Nur Syam Asmawie berkata kesemua nelayan yang masing-masing berusia 25 hingga 38 tahun itu, ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. 

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap hasil laut yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM5 juta untuk tekong, manakala RM600,000 kepada setiap kru.

“Mereka sanggup meredah dan menceroboh perairan negara disebabkan harga gamat di negara mereka bernilai tinggi sehingga mencecah RM1,000 setiap kilogram bagi menghasilkan produk kecantikan serta kesihatan dalaman lelaki.

“Kegiatan mereka dengan menggunakan alat cakaran khas yang direka sendiri juga boleh merosakkan ekosistem pembiakan ikan sehingga tempoh lima tahun untuk dipulihkan,” tambahnya.– BERNAMA

Loading...
Terkini