IPOH: Lima individu termasuk tiga wanita ditahan polis kerana dipercayai terlibat dalam sindiket penggunaan wang palsu, Isnin lalu.
Pemangku Ketua Polis Perak, Zulkafli Sariaat, berkata pada 29 Januari, polis menerima tiga laporan daripada pemilik premis pakaian dan stesen minyak di Kerian berkenaan penggunaan wang palsu di premis mereka.
Katanya, bertindak atas laporan polis menyerbu sebuah inap desa di Pusing pada 1.30 pagi.
“Dalam serbuan itu polis menahan dua lelaki dan tiga perempuan berusia antara 26 hingga 36 tahun dan merampas tiga keping note RM100, sekeping note RM20, enam telefon bimbit, satu komputer riba, kertas A4, gunting serta sebuah kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Semua suspek yang ditahan berperanan mencetak wang palsu dan menggunakannya untuk membeli keperluan harian termasuk mengisi minyak dan tambah nilai.
“Mereka juga menggunakan wang terbabit bagi membeli telefon pintar di dalam media sosial secara bersemuka sebelum melarikan diri selepas menyerahkan wang terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, sindiket ini menggunakan nombor kenderaan pendaftaran palsu bagi mengelakkan aktiviti mereka dikesan.
“Hasil siasatan mendapati mereka turut terbabit dalam sembilan kes penggunaan wang palsu yang dilaporkan di Ipoh, Batu Gajah, Manjung, Kuala Kangsar dan Kerian pada 2004 serta tahun ini.
“Kita turut menemui 83 keping note RM100 dan tiga keping note RM20 palsu yang digunakan suspek sebelum ini.
“Ujian air kencing terhadap semua suspek mendapati kesemuanya positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine, selain turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan jenayah, narkotik dan komersial,” katanya.
Katanya, seorang daripada suspek wanita sedang menghadapi perbicaraan berkaitan wang palsu di mahkamah di Selangor.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 489B,489C dan 489D Kanun Keseksaan dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kesemua suspek direman selama empat hari sehingga esok,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.