Tumpuan :
Jenayah

4 warga asing ditahan, sindiket curi telefon bimbit

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

SHAH ALAM: Empat warga asing ditahan dalam kes kecurian telefon bimbit membabitkan lapan kes di enam daerah sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua individu, dua lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 31 hingga 61 tahun.

“Kita berjaya merampas sebanyak 13 telefon bimbit melibatkan lapan kes kecurian telefon bimbit yang berlaku di enam daerah sekitar Lembah Klang iaitu Serdang, Petaling Jaya, Subang Jaya, Dang Wangi, Cheras dan Sentul.

“Hasil semakan rekod lampau mendapati kesemua individu tiada rekod jenayah dan keputusan saringan ujian air kencing adalah negatif,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Menurut Hussein, siasatan mendapati Geng Nguyen ini yang diketuai seorang wanita berumur 41 mencuri telefon bimbit untuk dijual di Vietnam.

“Mereka mula masuk ke Malaysia pada Disember lalu dan telah berada dalam negara lebih kurang seminggu dan dalam tempoh tersebut pihak polis berjaya menyelesaikan lapan kejadian kecurian telefon bimbit terutamanya jenis IPhone.

“Selepas itu mereka pulang ke negara asal dan mereka datang semula pada 17 Januari dan dalam tempoh seminggu ini mereka telah melakukan kecurian di pusat-pusat membeli belah dan lapan daripada kecurian ini ada dilaporkan kepada pihak polis, manakala yang lain mungkin mangsa tidak buat laporan polis.

“Kita percaya 13 telefon bimbit ini yang mana 12 daripadanya merupakan IPhone dicuri daripada mangsa-mangsa di pusat-pusat membeli belah ataupun di sekitar pusat-pusat. Mereka bergerak dalam kumpulan bertiga dengan mengalihkan perhatian mangsa ketika sedang sibuk membeli belah,” katanya.

Turut ditahan seorang lelaki warganegara Jordan yang bertindak sebagai pemandu.

Sehubungan itu, polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Serdang di talian 03-80742222 atau hadir ke balai polis berhampiran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini