comscore
Tumpuan :
Jenayah

4 lelaki ditahan termasuk pemilik rumah yang cuba diumpil suspek

Foto NSTP

KOTA BHARU: Susulan kematian seorang suspek yang cuba mengumpil tingkap sebuah rumah kejadian di Kampung Belukar, Tapang di sini, 20 Ogos lalu, empat lelaki termasuk pemilik rumah yang cuba diceroboh, ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, penahanan empat lelaki berusia antara 30-an hingga 50-an itu untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

Katanya, sebelum itu, suspek yang berusia 30-an cuba mengumpil tingkap sebuah rumah, jam 3 pagi 20 Ogos lalu.

“Susulan itu, pihak polis menerima laporan dari pemilik rumah jam 6.05 pagi hari yang sama, berkenaan kes pencerobohan oleh suspek.

“Mangsa memaklumkan, suspek cuba mengumpil tingkap rumahnya sebelum dia menghampiri, namun suspek melarikan diri. Walau bagaimanapun, suspek ditangkap oleh mangsa dengan bantuan penduduk kampung.

“Semasa tangkapan, suspek yang menggunakan sebilah pisau bertindak agresif dan berlaku pergelutan antara suspek dengan mangsa serta penduduk kampung. Namun, suspek berjaya ditangkap dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek yang juga penganggur mengalami kecederaan di bahagian muka serta kepala dan dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, hasil semakan polis, suspek mempunyai dua rekod berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.

“Susulan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 448 KK dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata bahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan sebat, jika disabitkan dengan kesalahan.

“Bagi kesalahan mengikut Seksyen 448 KK,jika disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-dua,” katanya.

Mohd Rosdi berkata, jam 9.43 malam kelmarin, pihak hospital mengesahkan suspek meninggal dunia ketika menerima rawatan.

“Susulan kematian suspek, polis menangkap empat lelaki termasuk pemilik sebuah rumah untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 KK.

“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian dan saksi diminta tampil membantu siasatan atau boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes Asisten Superintendan Wan Mahani Wan Mansor di talian 019-8336423 atau 09-7752200 atau mana-mana Balai Polis berhampiran,” katanya.

Loading...
Terkini