Tumpuan :
Jenayah

4 laporan pecah amanah babit peguam dengan nilai kerugian RM2.7 juta

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak empat laporan membabitkan pecah amanah jenayah yang dilakukan oleh peguam membabitkan nilai kerugian RM2.7 juta sejak dua minggu lalu.

Kes pertama dilaporkan membabitkan kerugian lebih RM339,000 yang dibuat di Kuala Lumpur pada 7 September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, laporan berkenaan dibuat seorang peguam berusia 49 tahun mendakwa bekas rakan kongsinya melakukan penyelewengan terhadap wang dari akaun klien firma guaman milik mereka.

Beliau berkata, suspek disyaki menandatangani beberapa keping cek, selain turut memalsukan tandatangan pengadu bagi urusan pengeluaran sejumlah RM339,243 dari akaun klien untuk kegunaan peribadinya pada sekitar tahun 2012 hingga tahun ini.

“Selepas disoal, suspek mengakui perbuatan berkenaan dan berjanji untuk memulangkan semula wang yang digunakan.

“Atas dasar percaya, pengadu membuat pinjaman peribadi dan menjual rumah miliknya bagi menggantikan wang yang digunakan oleh suspek.

“Bagaimanapun, sehingga kini suspek gagal membuat bayaran semula seperti mana yang dijanjikan,” katanya pada sidang media di Menara KPJ di sini hari ini.

Dalam kes kedua pula, Ramli berkata, satu laporan diterima pihaknya dibuat di Kuala Lumpur membabitkan kerugian RM1.9 juta pada 11 September lalu.

Beliau berkata, seorang wanita yang juga seorang pengarah syarikat, berusia 47 tahun mendakwa telah ditipu oleh sebuah firma guaman pada tahun 2022.

“Syarikat wanita itu melantik sebuah firma guaman di Kuala Lumpur untuk menguruskan perihal empat tuntutan sivil terhadap pengadu.

Pada awal tahun lalu sebelum Mahkamah mengeluarkan perintah “Mareva Injuction” terhadap harta miliknya.

“Rentetan itu, suspek yang juga pemilik firma guaman yang dilantik oleh membuat tawaran untuk memindahkan harta dan wang tunai milik pengadu kepada suspek untuk dijaga sementara tuntutan sivil itu berlangsung.

“Percaya dengan tawaran yang diberikan, pengadu menyerahkan wang serta beberapa barangan mewah miliknya kepada suspek dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1.9 juta, “katanya.

Menurutnya, wanita berkenaan memutuskan untuk tidak lagi menggunakan khidmat guaman daripada suspek dan memintanya memulangkan semua wang tunai dan barangan mewah yang diamanahkan pada tahun lalu.

“Bagaimanapun, suspek gagal berbuat demikian dan memberikan pelbagai alasan dan mangsa mengesyaki suspek menyalahgunakan wang serta barangan mewah untuk kepentingan peribadi, “katanya.

Katanya, bagi kes ketiga dan keempat pula, dua lelaki kerugian RM 461,000 akibat ditipu oleh peguam.

Menurut Ramli, daripada jumlah itu, satu laporan polis dibuat seorang lelaki berusia 81 tahun terhadap sebuah firma guaman yang didakwa telah menipu pengadu dalam urusan pengendalian kes sivil pada 20 September lalu di Kuala Lumpur.

“Manakala satu lagi laporan dibuat seorang lelaki berusia 29 tahun terhadap sebuah firma guaman yang didakwa gagal melunaskan tanggungjawabnya untuk menguruskan pembelian sebidang tanah berkeluasan 1.9 hektar di Daerah Mualim, Perak pada tahun lalu.

“Bagi keempat-empat kes ini, kita (polis) siasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, “katanya.

Dalam pada itu, Ramli menegaskan perlakuan jenayah dalam kalangan pengamal undang-undang adalah satu perkara yang perlu dipandang serius.

Beliau berkata, ia memandangkan mereka adalah rujukan masyarakat dalam perihal perundangan.

“Individu yang mendapatkan perkhidmatan guaman pastinya meletakkan sepenuh kepercayaan bahawa peguam yang dilantik akan melindungi kepentingan mereka.

“Sikap segelintir peguam yang mengkhianati kepercayaan yang diberi adalah tak ubah seperti harapkan pegar, pegar makan padi, “katanya.

Menurutnya, PDRM menyokong komitmen Majlis Peguam Malaysia yang dilihat semakin serius dan memberikan perhatian khusus bagi menangani isu salah laku dalam kalangan peguam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini