comscore
Tumpuan :
Jenayah

4 lagi ditahan bantu siasatan berkaitan MYAirline

KUALA LUMPUR: Polis menahan empat lagi individu berkait kes pengubahan wang haram membabitkan syarikat pelaburan i-Serve yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pengasas bersama syarikat penerbangan MYAirline.

Penahanan terbaharu itu menjadikan lapan orang ditahan setakat ini, bagi membantu siasatan termasuk suspek utama bergelar Datuk.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata tiga tangkapan dibuat di perkarangan Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini antara jam 1 hingga 1.30 tengah hari tadi.

Katanya, tangkapan dilakukan sepasukan anggota dari Pasukan Analisis Aset (PAA) Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (BSJPWH) JSJK Bukit Aman.

“Suspek pertama seorang wanita berusia 30 tahun bekerja di i-Serve sebagai pembantu kewangan bagi membuat urusan kewangan dan akaun syarikat dalam urusan tiket dengan sebuah syarikat penerbangan tambang murah.

“Wanita itu turut dilantik sebagai ahli lembaga pengarah dan rakan kongsi kepada beberapa syarikat yang dipertanggungjawab untuk memantau, menyediakan dokumen serta menguruskan pembayaran dividen kepada pelabur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, penahanan kedua membabitkan wanita berusia 33 tahun yang bekerja di i-Serve secara dalam talian sejak 2013 sebagai pembantu kewangan sebelum dilantik sebagai ahli lembaga pengarah di beberapa syarikat dan pengurus bendahari bagi menguruskan kutipan jualan semua premis barangan dijalankan syarikat terbabit.

Ramli berkata, individu ketiga adalah seorang lelaki berusia 48 tahun berperanan sebagai pengurus penyelidikan dan pembangunan di syarikat terbabit pada 2006.

Katanya, lelaki itu bertanggungjawab membuat sistem dan perisian syarikat i-Serve selain dilantik menjadi ahli lembaga pengarah kepada beberapa anak syarikat termasuk MYAirline.

“Penahanan keempat di Bukit Tunku di sini, membabitkan seorang lelaki berusia 62 tahun yang berperanan sebagai peguam di i-Serve.

“Mereka dibawa ke pejabat Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) JSJK Bukit Aman untuk tindakan lanjut,” katanya.

Ramli berkata, permohonan reman ke atas empat suspek akan dibuat esok pada jam 10 pagi di Lokap Berpusat Jinjang, di sini.

Isnin lalu, seorang pemegang saham i-Serve direman lima hari selepas ditahan di rumahnya di Bangsar.

Sebelum ini, polis merampas 12 kenderaan dari dua suspek, dokumen berkaitan i-Serve Technology dan Vacation Sdn Bhd, enam jam tangan mewah, lapan beg tangan mewah, dua komputer riba, satu CPU dan 10 barang kemas dianggar bernilai hampir RM5 juta.

Dalam pada itu, Ramli meminta semua pelabur i-Serve yang belum buat laporan berbuat demikian dengan nilai pelaburan untuk membantu siasatan polis.

Pada 18 Oktober lalu, polis menahan suspek utama yang juga pengasas bersama dan pemegang saham MYAirline bersama isteri dan anak lelakinya di Shah Alam berkaitan kes pengubahan wang haram.

Ketiga-tiganya sudah dibebaskan selepas tamat tempoh reman.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini