comscore
Tumpuan :
Jenayah

4 ditahan, curi barangan kemas bernilai RM45,000

FOTO: IPD Tawau

Oleh: Safwan Sawi 

TAWAU: Dua lelaki dan dua wanita ditahan selepas disyaki mencuri barangan kemas milik seorang lelaki bernilai RM45,000 di Jalan OKK Abu Bakar, di sini, baru-baru ini.

Keempat-empat suspek berusia 28, 30, 30 dan 42 tahun ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, terdahulu pihaknya menerima satu laporan daripada seorang lelaki berusia 31 tahun memaklumkan barang kemas yang diletakkan di dalam kereta hilang disyaki dicuri oleh individu yang tidak dikenali, pada 1 Oktober lalu.

Menurutnya, barangan kemas miliknya yang hilang iaitu seutas gelang tangan emas, seutas rantai emas dan buah rantai emas dan anggaran kerugian hampir RM45,000.

“Suspek pertama ditahan pada jam 6.00 pagi semalam di tepi Jalan Kampung Pukat, Tanjung Batu Laut dan hasil soal siasat ke atas seorang lelaki berusia 42 tahun itu membawa kepada tangkapan suspek kedua seorang wanita berusia 30 tahun pada jam 1.30 petang di Hospital Tawau.

“Polis turut menahan suspek ketiga iaitu seorang wanita berusia 28 tahun di Kampung Pukat, Jalan Tanjung Batu Laut kira-kira jam 3.00 petang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Susulan daripada tangkapan berkenaan, seorang lagi suspek lelaki berusia 32 tahun ditahan di sekitar Hospital Tawau pada jam 6.00 petang.

Semua suspek terbabit dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini