comscore
Tumpuan :
Jenayah

39 lagi rumah amal GISBH dalam radar pemantauan – Polis

KUALA LUMPUR: Polis sedang memantau 39 lagi rumah amal di bawah kendalian GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) berhubung dakwaan eksploitasi kanak-kanak termasuk kesalahan seksual.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan tindakan lanjut akan diambil.

Jelasnya serbuan terhadap 20 rumah amal menerusi fasa kedua baru-baru ini hasil pemantauan selama enam bulan.

“Kita (polis) sudah menyiasat syarikat itu sejak 2011 selain pernah bertemu wakil dari Pusat Penyelidikan Ajaran Sesat (Pukas) sebelum dakwaan mengenai GISBH tular di media sosial.

“Mereka antara yang memberikan kami maklumat awal dalam memudahkan kami melihat dan meneliti semula berasaskan laporan dibuat terhadap GISBH sebelum ini,” katanya kepada media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan turut dilakukan berpandukan satu laporan dibuat oleh bekas ahli GISBH dari Negeri Sembilan yang kemudiannya ditarik balik.

Bagaimanapun, katanya, wanita itu membuat laporan baharu dan polis membuka siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Menurut Razarudin, maklumat diperoleh memberi petunjuk yang boleh dipercayai dan diambil tindakan.

“Berpandu maklumat itu juga membolehkan polis memulakan fasa pertama Op Global dengan bantuan Cawangan Khas dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Mereka mula mengumpul maklumat untuk meneliti kes ini. Malah, saya juga ada menghadiri mesyuarat dan diberi taklimat mengenai penemuan siasatan mereka dua hari sebelum serbuan dilakukan di rumah amal di Selangor serta Negeri Sembilan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini