comscore
Tumpuan :
Jenayah

38 Ah Long & kuncu diberkas di Pulau Pinang

Oleh: Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Polis menahan 38 individu termasuk empat wanita kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti pinjaman wang tidak berlesen atau “Ah Long.”

Suspek ditangkap dalam siri operasi khas oleh Polis Pulau Pinang sejak 5 Jun lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata ia merupakan pencapaian awal dalam membanteras sindiket ah long yang beroperasi di negeri ini dan juga bagi membantu siasatan berhubung surat amaran dan ugutan jenayah yang diterima beliau pada 1 Jun lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin.

Tambah Kok Chin, beberapa orang daripada suspek turut ditangkap di negeri-negeri lain di utara semenanjung.

Kesemua suspek berusia antara 21 hingga 72 tahun.

Tegasnya lagi, ada di antara suspek turut menjadi keldai akaun kepada sindiket itu.

“Selain itu, ada juga tangkapan membabitkan mereka yang terlibat dalam kes sebelum ini yang mana siasatan sedang dijalankan,” katanya selepas lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, pagi tadi.

Ujar Kok Chin, suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada suspek yang terlibat dalam kes ugutan terhadap beliau turut ditahan dalam operasi terbabit, Kok Chin berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung penglibatan suspek yang ditahan.

“Kita masih siasat sama ada suspek yang diberkas dalam serbuan ini terlibat atau tidak dalam kes ugutan itu.Bagaimanapun, operasi kali ini lebih menumpukan usaha membanteras kegiatan ah long di negeri ini sehabis boleh,” katanya lagi.

Loading...
Terkini