Tumpuan :
Jenayah

361 terbabit kegiatan ‘ah long’ di seluruh negara ditahan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf (dua kanan) menunjukkan barang yang dirampas terbabit dengan kes pinjaman wang haram (ah long) pada sidang media Pengarah JSJK Menara KPJ Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. – Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Seramai 361 individu yang disyaki terbabit kegiatan pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau ah long, ditahan dalam operasi khas selama sembilan hari di seluruh negara bermula 4 November lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua suspek ditahan kerana dipercayai terbabit kegiatan ah long samada secara langsung atau tidak langsung.

Menurut beliau, semua tangkapan berusia lingkungan 18 hingga 77 tahun termasuk termasuk pekerja di syarikat pemberi pinjaman wang berlesen yang yang dikesan melanggar syarat Peraturan-Peraturan Pemberi Pinjam Wang (Kawalan dan Pelesenan) (Pindaan) 2024.

“Mereka berperanan seperti pemberi pinjam wang, pemungut hutang, pegawai khidmat pelanggan, ejen pengeluar wang, pemilik akaun keldai, ejen simbah cat dan pengedar risalah serta ‘bunting’ (gegantung) iklan.

“Hasil serbuan, polis merampas pelbagai barangan dan dokumen antaranya 361 telefon bimbit, 399 kad ATM, 10 komputer riba, 11 kenderaan, 1,439 keping kad pinjaman, 250 ikat gegantung, 269 perjanjian pinjaman wang dan wang tunai RM12,994,” katanya dalam sidang media ibu pejabat JSJK, Menara KPJ di sini, hari ini.

Ramli berkata, sebanyak 136 kertas siasatan dibuka berkait kesemua tangkapan dan sehingga kini, 25 kertas siasatan membabitkan 41 individu sudah berjaya dituduh di mahkamah, dan selebihnya masih disiasat mengikut Seksyen 5(2), Seksyen 29AA dan Seksyen 29B Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

Dalam pada itu, katanya sebanyak 977 kes ah long direkodkan pada 2021 dan angka itu meningkat kepada 989 kes pada 2022, manakala 1,162 kes direkod pada tahun lepas dan bagi tahun ini sehingga Oktober lalu, sebanyak 777 kes ah long direkodkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini