Oleh Kadir Edison
LUNDU: Tiga kanak-kanak termasuklah bayi berusia 9 bulan menjadi antara 31 Pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kejadian jam 3.45 petang tadi.
Sel Perhubungan Raya Markas Divisyen Pertama Tentera Darat Malaysia dalam satu kenyataan berkata kesemua pati berkenaan ditahan selepas terserempak dengan anggota ATM yang sedang melakukan rondaan kira-kira 150 meter dari sempadan Malaysia-Indonesia.
Pemeriksaan lanjut terhadap pati berkenaan mendapati mereka tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah untuk memasuki negara ini.
Turut ditemui wang tunai dalam matawang asing dianggarkan bernilai RM10,000, 19 motosikal serta 24 telefon bimbit.
Kesemua pati kemudiannya dilakukan tindakan pengusiran ke negara asal dan satu laporan polis berkaitan kes berkenaan dibuat di Balai Polis Lundu.