KUALA LUMPUR: Tiga warga Sierra Leone ditahan dalam serbuan di ibu negara, 2 Oktober lalu kerana cuba menjual 10,000 keping not palsu mata wang dolar Amerika Syarikat (USD) pada harga RM1,000 kepada pembeli di Malaysia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata siasatan mendapati suspek membeli not palsu dari China menerusi aplikasi TikTok pada harga RM6.97 bagi 10,000 keping.
“Siasatan setakat ini mendapati ketiga-tiga yang ditahan telah masuk ke Malaysia sebagai pelajar di sebuah kolej swasta di sekitar Selangor.
“Dua daripada mereka masuk ke Malaysia sejak tahun 2022 dan seorang lagi pada tahun ini,” katanya pada sidang media di Menara KPJ, di sini hari ini.
Menurutnya, pasukan serbuan turut merampas empat not USD100, dua kertas kosong bersaiz not USD100, empat telefon bimbit, satu pasport serta dua kereta, masing-masing jenis Naza Forte dan Proton Iriz.
Katanya, kesemua suspek direman sehingga 21 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.