KULAI: Polis menahan tiga individu, termasuk seorang wanita, kesemuanya warga Indonesia, bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang wanita bersama bayi yang baru dilahirkan di tepi Jalan Impiana 5, Taman Impiana, Kelapa Sawit.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee, memaklumkan bahawa kesemua suspek berusia antara 42 hingga 53 tahun ditahan dalam operasi sekitar Kulai dan Johor Bahru antara jam 2.30 petang hingga 4.30 petang semalam.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kulai telah membuat tangkapan ke atas ketiga-tiga suspek.
“Kita turut merampas empat telefon bimbit, sebuah kereta, tilam dan tikar,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Beliau memaklumkan bahawa kesemua suspek kini direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 316 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian kelmarin, Seng Lee mengesahkan penemuan mayat seorang wanita warga Indonesia bersama seorang bayi.
Menurutnya, sekitar jam 8.15 pagi kelmarin, Balai Polis Kelapa Sawit menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan mengenai seorang wanita yang dilihat terbaring di tepi jalan.
Bertindak atas maklumat tersebut, pihak polis bergegas ke lokasi dan menemui seorang wanita terbaring bersama seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat.
Beliau turut menyatakan bahawa tiada kesan kecederaan luaran pada kedua-dua mayat, selain turut ditemui satu organ dipercayai uri berhampiran lokasi penemuan.
Bedah siasat terhadap mayat wanita dan bayi berkenaan telah selesai dijalankan semalam, namun punca kematian masih menunggu keputusan analisis makmal.
Seng Lee turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau kenyataan yang boleh mengganggu siasatan kes.
“Orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang maklumat dengan menghubungi talian hotline 07-6637222,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.