comscore
Tumpuan :
Jenayah

3 warga Filipina pinjam, beli MyKad palsu untuk cari kerja, ditahan

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menahan tiga lelaki warga Filipina awal pagi tadi, selepas didapati menggunakan kad pengenalan (MyKad) rakyat tempatan serta palsu untuk mendapatkan pekerjaan di negara ini.

Suspek berusia di antara 19 hingga 50 tahun itu ditahan kira-kira jam 1 pagi di kediaman masing-masing di sekitar Pulau Indah, Selangor hasil risikan dan pemantauan selama tiga minggu.

Siasatan awal mendapati mereka memperoleh kad pengenalan terbabit dengan meminjam daripada kenalan.

Sumber JPN berkata, seorang daripada suspek pula didapati membeli kad pengenalan palsu daripada sindiket pada harga RM500.

“Mereka didapati menggunakan kad pengenalan milik orang lain dan kad pengenalan palsu di antara dua minggu hingga enam bulan sebagai identiti mereka.

“Tujuan mereka adalah untuk mendapatkan pekerjaan dan tinggal di negara ini,” katanya.

Katanya, JPN kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.

Mereka yang ditahan kini dalam proses siasatan lanjut dan akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang serta boleh disabitkan atas kesalahan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.

“Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini