KUALA LUMPUR: Tiga anggota polis ditahan bagi membantu siasatan kes kecurian barangan kemas dikatakan milik seorang wanita yang ditemui meninggal dunia dalam kereta di parkir sebuah kondominium di Setapak, di sini, pada 1 Oktober lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, tangkapan itu hasil siasatan dijalankan susulan satu laporan daripada seorang lelaki tempatan.
Katanya, kes itu pada awalnya diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis (KEP), namun selepas memperoleh beberapa keterangan, kes diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
“Susulan daripada siasatan dilakukan, polis membuat tangkapan ke atas empat anggota polis di sekitar Setapak, Kuala Lumpur.
“Tangkapan dilakukan terhadap anggota polis berpangkat konstabel hingga koperal berusia lingkungan antara 28 hingga 35 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, pihak polis juga membuat rampasan membabitkan sekeping resit dan seketul logam berwarna kekuningan dianggarkan seberat 11.52 gram.
“Permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dibuat, semalam dan semua suspek kini ditahan reman selama tiga hari sehingga esok,” katanya.
Rusdi berkata, polis masih meneruskan siasatan dan memohon orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Terdahulu, media melaporkan seorang bekas pegawai kanan polis berusia 59 tahun membuat laporan di Balai Polis Setapak pada 8 Oktober lalu selepas mendapati barangan kemas dipakai anak perempuannya ketika meninggal dunia, didapati hilang.
Dia mendakwa selepas jenazah anaknya yang berusia 26 tahun itu selesai dikebumikan di Banting, Selangor, dia cuba mencari rantai, loket dan gelang emas pemberian nenek serta kakak mangsa.
Pun begitu, dia dimaklumkan oleh pihak hospital dan polis bahawa anaknya tidak memakai barangan kemas ketika mangsa ditemui dalam kenderaan itu.
Pencarian di seluruh rumah sewa mangsa juga tidak menemui barangan kemas, menyebabkan bapanya merujuk perkara itu kepada pihak bomba yang memecahkan cermin kenderaan berkenaan yang berkunci.
Berdasarkan gambar daripada bomba, terdapat rantai dan gelang emas dipakai mangsa sebelum jenazah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.