comscore
Tumpuan :
Jenayah

3 penjawat awam direman, disyaki bersubahat kemuka butir matan palsu RM77,000

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan reman tiga penjawat awam kerana disyaki bersubahat mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu.

Ia bagi tujuan memperdayakan dan mendapatkan wang berjumlah kira-kira RM77,000 untuk kerja-kerja pembekalan kepada sebuah institusi pendidikan di negeri ini sedangkan projek tersebut tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Menurut sumber, seorang suspek perempuan dan dua suspek lelaki yang juga merupakan pegawai institusi pendidikan tersebut berusia sekitar 40-an hingga 50-an  telah ditahan kira-kira jam 4 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di SPRM Selangor.

Susulan penahanan itu, kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pagi tadi dan perintah reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga  22 Mei 2024 terhadap suspek telah dikeluarkan oleh Majistret Sasha Diana Sabtu.

“Ketiga-tiga suspek termasuk seorang pengerusi koperasi dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2023 di mana sebanyak RM61,000 telah dimasukkan ke dalam akaun koperasi institusi pendidikan tersebut.

Manakala baki sebanyak RM16,000 diagihkan kepada dua buah syarikat yang terlibat,” katanya.

Khamis minggu lalu, SPRM telah menahan reman dua individu termasuk seorang pengarah syarikat bagi kesalahan mengemukakan dua tuntutan bayaran dari dua syarikat yang berbeza sebanyak kira-kira RM36,000 dan RM41,000.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini