KUALA LUMPUR: Polis merampas 669 laras senjata tiruan dianggarkan bernilai lebih RM436,000 serta menahan tiga lelaki dalam dua serbuan berasingan di Kota Bharu, Kelantan dan Jalan Raja Laut di sini, pada Selasa dan Rabu lalu.
Dalam dua serbuan itu, polis turut merampas dua ekor burung murai batu yang disyaki disimpan tanpa permit serta pelbagai ubat-ubatan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM)
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, dalam serbuan pertama di Kota Bharu, pihakya menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki menjual senjata tiruan secara dalam talian.
Menurut beliau, sebanyak 32 laras senjata tiruan turut dirampas dalam serbuan itu.
“Hasil pemeriksaan lanjut, kita menemui dua ekor burung murai batu yang disyaki disimpan tanpa permit sah mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
“Turut dirampas beberapa kotak yang mengandungi ubat-ubatan tanpa kelulusan KKM. Kes disiasat mengikut Peraturan Peraturan 1(a) Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azmi berkata siasatan awal mendapati suspek menjalankan perniagaan menjual senjata tiruan melalui platform dalam talian sejak beberapa bulan yang lalu.
“Dalam satu serbuan kedua di Jalan Raja Laut di sini, pada Rabu lalu, kita menangkap dua lelaki termasuk seorang warga asing serta merampas 637 laras senjata tiruan yang disyaki turut dijual secara dalam talian.
“Keseluruhan nilai rampasan bagi kedua-dua operasi ini dianggarkan berjumlah RM436,971. Kesemua tiga suspek daripada kedua-dua serbuan berusia antara 28 hingga 45 tahun kini ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Katanya, kedua-dua kes rampasan senjata tiruan disiasat mengikut Akta Senjata 1960.
Menurut Azmi, kedua-dua serbuan ini dilaksanakan menerusiOp Taring Bravo 3 (senjata tiruan), Op Bersepadu Khazanah (OBK) dan Op Taring Dos (ubat-ubatan) oleh Wildlife Crime Bureau (WCB) dan Perisikan Siasatan Khas (PSK) JKDNKA.
“Kita memberi jaminan akan mempergiatkan risikan dan operasi bagi menjejaki serta membanteras kegiatan ini dengan lebih fokus dan berkesan demi keselamatan masyarakat dan ketenteraman awam.
“Orang awam digalakkan memberi maklumat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu membanteras jenayah ini sepenuhnya,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.