Tumpuan :
Jenayah

3 lelaki ditahan, larikan ATM jongkong emas

AMPANG JAYA: Upah pemandu lori untuk mengambil mesin pengeluaran automatik (ATM) jongkong emas.

Itu modus operandi seorang lelaki yang mensasarkan mesin berkenaan yang ditempatkan di pasar raya di Taman Permata, di sini pada 23 November lalu.

Tindakan licik mereka bagaimanapun tidak lama apabila polis memberkas tiga individu dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, ketiga-tiga suspek ditahan susulan siasatan berdasarkan laporan seorang pegawai pemasaran berkaitan kejadian pada 23 November lalu.

“Pengadu sebelum itu menerima panggilan kira-kira jam 9.50 pagi berkaitan sebuah mesin ATM emas di pasar raya terbabit ditarik keluar oleh beberapa individu.

“Bagaimanapun siasatan mendapati tiada jongkong emas dalam mesin ATM berkenaan kerana ia sudah dikosongkan, nilai kerugian akibat kejadian dianggarkan kira-kira RM60,000,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, susulan itu operasi dijalankan bermula 26 November lalu sehingga Sabtu berjaya memberkas tiga individu dipercayai terbabit dalam kejadian.

“Operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan tiga lelaki tempatan berumur antara 17 hingga 41 tahun di sekitar Kuala Lumpur dan Kajang.

“Polis turut merampas dua telefon bimbit, beberapa jenis pakaian dan sebuah lori dipercayai digunakan ketika kejadian,” katanya.

Menurutnya, saringan dijalankan mendapati salah seorang suspek terlibat positif dadah.

“Semakan turut mendapati salah seorang daripada tiga suspek memiliki 54 rekod jenayah lampau serta tiga rekod masih dikehendaki berkaitan jenayah dan narkotik.

“Siasatan mendapati kegiatan ini menyasarkan mesin ATM emas di pasar raya serta mengupah pemandu serta menggunakan lori untuk melarikan mesin ATM emas berkenaan,” katanya.

Mohd Azam berkata, dua individu ditahan diberikan jaminan polis manakala seorang lagi suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini