SUBANG JAYA: Tiga lelaki disyaki terbabit dengan lapan kes ragut barang kemas di dalam daerah ini ditahan dalam serbuan berasingan di sini dan sekitar Petaling Jaya semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata polis menerima aduan daripada seorang lelaki tempatan mendakwa rantai emas bernilai RM30,000 miliknya dilarikan individu tidak dikenali pada 12 Oktober.
“Mangsa mendakwa disamun seorang suspek lelaki.
“Pada 6.45 pagi semalam sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Subang Jaya membuat tangkapan ke atas tiga suspek dalam serbuan berasingan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 30-an adalah lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam kes ragut berkenaan.
Katanya, siasatan mendapati salah seorang suspek bekerja sebagai penghantar dokumen manakala dua lagi pembeli emas dan pembantu kedai emas.
Wan Azlan berkata pihaknya percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya lapan kes ragut barang kemas di daerah Subang Jaya dengan tertangkapnya suspek terbabit.
“Pasukan serbuan merampas beberapa utas barang kemas, resit pembelian barang kemas dan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC.
“Semakan rekod mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah dan narkotik manakala seorang lagi tiada rekod lampau.
“Siasatan lanjut diteruskan bagi mengenal pasti pembabitan suspek dalam kes-kes di daerah lain,” katanya.
Menurutnya, salah seorang suspek direman tiga hari manakala selebihnya direman sehari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.