comscore
Tumpuan :
Jenayah

3 lelaki ditahan bersama dadah lebih RM600,000

Foto hiasan

MELAKA: Tiga lelaki dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah jenis syabu sekitar Banda Hilir di sini, ditahan bersama dadah bernilai hampir RM700,000, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kesemua lelaki berusia antara 26 hingga 27 tahun itu diberkas kira-kira jam 1.30 petang, di kawasan Padang Temu dan kini direman tujuh hari sehingga 20 September ini.

Jelasnya, dadah itu dijumpai susulan pemeriksaan lanjut polis ke atas sebuah kereta yang berada dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan ke atas Perodua Bezza itu polis kemudian menjumpai dadah dipercayai jenis syabu seberat kira-kira 20,386 gram yang dianggarkan bernilai RM672, 838.

“Siasatan dijalankan kemudian mendapati semua suspek itu berasal dari Selangor dan ada yang bekerja sebagai penghantar barang dan makanan.

“Modus operandi mereka, menggunakan kereta sewa untuk menghantar bekalan. Malah dadah yang dirampas ini dipercayai untuk bekalan luar negara dan ia boleh digunakan untuk 101, 930 orang penagih,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati, sindiket  dipercayai bergiat aktif sejak awal tahun ini di sekitar Banda Hilir.

“Siasatan lanjut ke atas suspek untuk mengetahui ke mana dadah terbabit akan dihantar masih disiasat.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati semua mereka negatif namun semakan rekod lampau mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah membabitkan dadah.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Loading...
Terkini