comscore
Tumpuan :
Jenayah

3 lelaki babit pergaduhan didakwa di mahkamah esok

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki terbabit dalam satu pergaduhan di Jalan Telawi, Bangsar, pada Mac 2021 hingga menyebabkan seorang lelaki terbunuh, akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, esok.

Difahamkan, ketiga-tiga suspek berusia antara 27 hingga 30 tahun itu ditahan di sebuah lokasi Taman Desa Jaya, Selangor pada 2 April lalu, sekaligus polis berjaya menyelesaikan kes berkenaan selepas dua tahun kejadian.

Ketiga-tiga mereka akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Dalam kejadian 13 Mac 2021, seorang lelaki 28 tahun maut ketika sedang berjalan kaki manakala seorang lagi parah selepas dipercayai terbabit dalam pergaduhan di Jalan Telawi, Bangsar, di sini.

Ketika menuju ke kenderaannya, mangsa terjumpa dengan suspek yang dipercayai mempunyai dendam lama sebelum berlaku pertengkaran sehingga berlaku pergaduhan.

Akibat pergaduhan itu, mangsa mengalami kecederaan serius dipercayai akibat ditoreh dengan senjata tajam, selain ditikam dengan botol minuman keras.

Mangsa kemudian melarikan diri ke arah sebuah pusat beli-belah sebelum terbaring di hadapan sebuah kedai serbaneka dan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) oleh rakannya, kemudian disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Seorang lagi lelaki berusia 30 tahun pula parah pada muka dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Mangsa dan suspek yang terbabit dalam kejadian ini dilaporkan mengenali di antara satu sama lain dan tinggal di kawasan sekitar Selayang dan Taman Wahyu, di sini.

Satu rakaman video berhubung kejadian pergaduhan itu turut pernah tular di media sosial.

Loading...
Terkini